2020-02-10

Kamus Istilah Sufi N - Z


N
Nafs: Diri manusia. Bila dipandang sebagai diri yang mempunyai keinginan ia dipanggil nafsu. Bila dipandang sebagai diri yang berakal ia dipanggil nafsu natiqah. Bila dipandang sebagai gabungan berbagai-bagai sifat ia dinamakan hati. Nafsu, nafsu natiqah dan hati adalah diri manusia sendiri yang dipandang melalui berbagai-bagai aspek.

Nafsu ammarah: Peringkat nafsu yang paling rendah dan paling kuat dikuasai oleh syahwat, dunia dan syaitan. Hijab yang muncul melalui nafsu ini menyebabkan tertutup hubungan hati dengan Tuhan. Nafsu mengarahkan semua pancaindera dan akal kepada perkara-perkara keduniaan semata-mata. Hati yang tidak menerima cahaya iman akan menghasilkan sifat-sifat ammarah

Nafsu kamaliah: Peringkat nafsu yang paling tinggi, iaitu tahap kesempurnaan nafsu. Nafsu kamaliah adalah peringkat nafsu yang paling sempurna, suci bersih dan murni.

Nafsu lawwamah: Sifat nafsu yang paling rendah, iaitu ammarah, adalah ego, enggan mengakui kesalahan diri sendiri. Apabila sifat nafsu itu menjadi bertambah baik cahaya kebenaran dapat menyelinap masuk ke dalam hati dan akal. Dalam suasana yang demikian seseorang dapat melihat dan mengakui kesalahan dirinya. Suasana diri yang boleh mengkeritik diri sendiri itu dinamakan peringkat lawwamah.

Nafsu mardhiah: Sifat nafsu yang luhur, yang diredai oleh Allah s.w.t.

Nafsu mulhamah: Sifat nafsu sebelum memasuki kembali kepada suasana rohani yang asli.

Nafsu muthmainnah: Nafsu yang bersih, tulen dan asli yang menjadi sifat nafsu yang asal kepunyaan rohani sebelum dipengaruhi oleh anasir jasad dan alam dunia. Apabila dicemari oleh anasir jasad dan dunia tahap kesucian nafsu menurun kepada mulhamah. Jika kekotoran bertambah lagi ia menurun kepada tahap lawwamah. Nafsu yang sudah banyak tercemar dan berada pada tahap yang paling hina dikenali sebagai ammarah.

Nafsu radhiah: Tingkat nafsu di antara muthmainnah dan mardhiah. Kemuncak fana berlaku dalam peringkat radhiah. Orang radhiah lupa kepada dirinya dan makhluk sekaliannya. Kesedarannya hanyalah pada Allah s.w.t.

Nasut: Alam benda-benda.

Nisbat: Istilah yang digunakan dalam tarekat Naqsabandiyah bagi menceritakan suasana yang tidak putus ingatannya kepada Allah s.w.t.

Nur: Unsur seni lagi latif yang termasuk dalam perkara Latifah Rabbaniah. Nur bukanlah cahaya seperti cahaya lampu, cahaya matahari, cahaya kilat dan lain-lain cahaya yang boleh dilihat. Kekuatan akal dan khayal tidak mampu menghuraikan hakikat nur. Apa sahaja yang dinisbahkan kepada Tuhan adalah dalam keadaan nur. Malaikat yang menjalankan perintah Tuhan adalah nur. Roh yang menjadi urusan Tuhan adalah nur. Wahyu yang diturunkan oleh Tuhan adalah nur. Taufik, hidayat dan rahmat Tuhan adalah nur juga. Ilmu juga nur. Nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan Hadrat Tuhan yang dirasai oleh hati adalah nur juga. Nur yang termasuk di dalam golongan kewujudan yang diperintah, seperti malaikat dan roh manusia, adalah makhluk dan menghuni ruang alam. Nur urusan Tuhan, nama-nama, sifat-sifat dan Hadrat Tuhan bukanlah makhluk dan tidak mengambil ruang. Nur yang dinisbahkan secara langsung kepada Tuhan adalah keadaan atau hal Tuhan dan dipanggil Nur Allah. Walaupun terjadi pengalaman kerohanian mengenai Nur Allah, seperti nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan Hadrat-Nya, itu bukan bermakna Nur Allah masuk ke dalam hati, fikiran atau khayalan manusia. Apa yang manusia alami hanyalah gubahan Tuhan untuk melahirkan makrifat tentang Diri-Nya. Gubahan Tuhan yang demikian membuka pengertian tentang hakikat ketuhanan yang diselubungi oleh selimut ghaib yang kukuh.

Nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan yang dari nur.

Nur Akal: Akal ada dua jenis, iaitu akal zahir dan akal batin. Akal zahir mengenderai otak. Akal batin adalah unsur nur. Apabila akal batin sudah diterangi oleh nur baharulah perkara ketuhanan dapat difahami. Nur bagi akal batin menerangi akal yang pada otak. Baharulah manusia dapat memikirkan tentang ketuhanan dan perkara ghaib.

Nur al-Muwaajahah: Nur al-muwaajahah berperanan membawa hamba 'berhadapan' dan 'menyaksikan' Tuhan dalam suasana "Tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya".

Nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan yang dari nur.

Nur Iman: Cahaya iman. Iman adalah hubungan hati dengan Allah s.w.t. Hati adalah bangsa nur atau nurani. Apa juga yang dari Allah s.w.t adalah dalam unsur nur. Iman yang terpancar di dalam hati adalah juga nur. Nur Iman yang menerangi hati nurani membuka hubungan dengan Nur Ilahi.

Nur Kalbu: Nur yang memancar di dalam hati. Nur kalbu menerangi akal. Akal yang diterangi oleh nur berguna bagi pengajian tentang perkara ghaib dan ketuhanan. Tanpa sinaran Nur Kalbu akal tidak mampu bertafakur mengenai perkara ghaib dan ketuhanan.

Nur Muhammad: Urusan Tuhan yang berada pada sisi-Nya berhubung dengan penciptaan alam makhluk. Bolehlah dikatakan bahawa sekalian alam makhluk termasuklah manusia, jika disaksikan dalam Ilmu Tuhan maka sekaliannya disaksikan sebagai Nur Muhammad. Jika dipandang sebagai hakikat maka ia adalah Hakikat Insan dan juga Hakikat Alam. Nur Muhammad adalah suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk yang mendiami ruang alam. Bekas alam yang menerima bakat dan keupayaan Nur Muhammad itu dinamakan Roh Muhammad.

Nur Sir: Nur Rahsia Allah s.w.t. Nur sir yang menerima sinaran Nur Allah dan nur sir memancarkannya kepada nur hati, lalu hati mengalami sesuatu hal ketuhanan. Apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan kepada hamba-Nya disampaikan-Nya kepada sir. Sir menterjemahkan utusan Tuhan itu dalam bentuk nur dan nur tersebut dihantarkan kepada hati. Hati yang mempunyai bakat makrifat memahami perutusan nur yang dihantarkan oleh sir itu.

Nur tawajjuh: Hati hanya boleh menghadap dan menghampiri Tuhan kerana peranan nur. Nur yang berperanan demikian dinamakan nur tawajjuh.

Nurullah: Nur Allah s.w.t.

Nur Zikir: Ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba melahirkan nur. Wuduk melahirkan nur. Sembahyang melahirkan nur. Zikir juga melahirkan nur. Syarat bagi melahirkan nur dalam ibadat itu ialah ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata. Setiap nur yang lahir daripada ibadat itu mempunyai fungsinya masing-masing dalam membantu seseorang hamba mendekati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Nur zikir melahirkan ingatan, kasih sayang dan kerinduan kepada-Nya. Zikir yang sudah melahirkan nur akan menambahkan kekuatan seseorang hamba dalam pengabdiannya kepada Tuhannya dan dia memperolehi kelazatan dalam berbuat demikian.

Nyawa Insan: Jasad hidup kerana Roh Haiwani dan Roh Haiwani pula memperolehi penghidupan daripada Roh Insan atau Nyawa Insan yang dinamakan juga Latifah Sir.

P
Pembimbing Hakiki: Di dalam pengajian ketuhanan tidak ada istilah kebetulan. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan, tanpa dirancang atau ditadbir. Semua yang berlaku adalah di bawah tadbir Allah s.w.t. Jika secara tiba-tiba seseorang itu mendapat sesuatu pengetahuan atau terbuka kepadanya sesuatu jalan, ianya berlaku bukanlah secara kebetulan tetapi menurut tadbir Tuhan. Oleh kerana hal tersebut berlaku secara tiba-tiba sumber kedatangannya tidak diketahui dengan jelas tetapi diyakini bahawa al-Haq, iaitu Tuhan yang Maha Mengasihani memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya yang berkenaan. Apabila pengajaran tersebut dinisbahkan kepada al-Haq atau Tuhan, ia diistilahkan sebagai Pembimbing Hakiki. Orang yang menerima bimbingan secara demikian dapat merasakan bahawa pengetahuan yang sampai kepadanya adalah secara terancang bukan secara kebetulan. Kehadiran Pembimbing Hakiki tersebut, walaupun tidak diketahui hakikatnya, menambahkan keyakinan kepada hamba yang sedang berjalan pada jalan Tuhan itu.

Pembimbing Rohani: Sama seperti Pembimbing Hakiki.

Penglihatan Mutlak: Penglihatan Allah s.w.t yang bersifat Mutlak. Penglihatan Allah s.w.t tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Jika dikatakan Allah s.w.t Melihat makhluk-Nya, maka Dia Melihat makhluk-Nya itu sejak azali, sebelum makhluk diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya tatkala makhluk itu diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya sesudah makhluk diciptakan dan sampailah kepada keabadian. Dia Melihat perbuatan makhluk sebelum makhluk melakukan perbuatan itu, ketika makhluk melakukannya dan sesudah makhluk melakukannya. Dia Melihat yang awal dan yang akhir, yang zahir dan yang batin. Pada setiap perbuatan dan kejadian ada Penglihatan-Nya. Pada setiap penglihatan makhluk ada juga Penglihatan-Nya. Oleh yang demikian makhluk tidak dapat melakukan dan melihat sesuatu tanpa Allah s.w.t Melihatnya.

Penyaksian Hakiki: Penyaksian Hakiki mata hati adalah suasana hati yang sentiasa menyaksikan sesuatu tentang Tuhan, pada setiap masa dan semua kejadian.

Perbendaharaan Yang Tersembunyi: Rahsia-rahsia ketuhanan atau hakikat-hakikat yang berada pada sisi Tuhan. Kumpulan hakikat-hakikat tersebut dinamakan Hakikat Muhammadiah.

Perintah Batin: Hati nurani dinamakan juga Diri Batin. Nur dari alam ghaib diterima oleh hati nurani atau Diri Batin itu. Nur yang dari alam ghaib mempunyai kekuatan menguasai hati nurani. Perutusan yang disampaikan oleh nur tersebut diterima oleh hati nurani seumpama menerima perintah, tidak berupaya mengingkarinya. Hati kemudian memaksa pancainderanya untuk melakukan menurut perutusan yang telah diterimanya. Hal yang demikian dinamakan perintah batin. Orang yang menerima perintah batin ini sering melakukan sesuatu yang pada zahirnya kelihatan tidak munasabah bagi orang ramai. Namun begitu orang berkenaan tidak ragu-ragu melakukan perkara yang telah disampaikan kepada Diri Batinnya itu sekalipun dipandang remeh oleh orang lain.

Petunjuk Ilmu: Hati nurani adalah unsur nur dan ilmu juga unsur nur. Nur ilmu memancar kepada nur hati. Pancaran nur ilmu mengwujudkan sesuatu suasana di dalam hati. Hati memahami perutusan yang dibawa oleh nur ilmu itu. Hal yang demikian dinamakan petunjuk ilmu.

Petunjuk Laduni: Apabila nur dari alam ghaib dinisbahkan kepada pekerjaan atau urusan Tuhan ia dinamakan Petunjuk Laduni. Ia adalah bimbingan yang Allah s.w.t sampaikan kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.

Qadak: Urusan atau suasana Pentadbiran Tuhan mengenai sesuatu perkara. Ia boleh juga dikatakan sebagai hakikat bagi kejadian Tuhan ataupun suasana ilmu Tuhan yang mengenai makhluk-Nya. Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada pada sisi-Nya, dalam Ilmu-Nya sebagai Pentadbiran-Nya dan dipanggil hakikat-hakikat yang menguasai segala kejadian.

Qadar: Apa yang terzahir atau berlaku menurut Qadak yang pada sisi Tuhan atau menurut kehendak yang ada pada Ilmu-Nya atau menurut hakikat-hakikat yang menguasai. Qadak berada pada sisi Tuhan dan Qadar adalah yang 'keluar' menurut Qadak tersebut. Qadak adalah ilmu Tuhan dan Qadar adalah perbuatan-Nya menurut Ilmu-Nya. Boleh juga jika maksud yang dijelaskan mengenai Qadak digunakan untuk Qadar dan maksud untuk Qadar digunakan untuk Qadak. Sebahagian ulama mentafsirkan Qadar sebagai suasana ilmu Tuhan dan Qadak pula suasana perbuatan Tuhan. Kedua-dua bentuk pentafsiran tersebut boleh diguna-pakai.

Qurbi Faraidh: Suasana kerohanian di mana seseorang itu berubah kesedaran dan sifatnya. Dalam suasana yang demikian seseorang itu melihat ketidak-upayaan dirinya dan dia hanya menumpang daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Dia melihat apa sahaja yang keluar daripadanya adalah di bawah kekuasaan dan perbuatan Tuhan secara langsung tanpa dia ikut campur sedikitpun.

Qurbi Nawafil: Suasana kerohanian di mana seseorang melihat dirinya sebagai bekas yang Tuhan letakkan bakat-bakat dan keupayaan serta dia diizinkan menggunakan bakat-bakat serta keupayaan tersebut. Orang yang demikian melihat dirinya sebagai pengurus yang diberi kuasa untuk mentadbir apa yang dibekalkan kepadanya.

Qutubul Aqtab: Ketua Agung sekalian wali-wali.

R
Radhiah: Nafsu radhiah.

Raghib: Orang yang dilalaikan oleh dunia, syaitan dan dorongan hawa nafsu yang rendah. Akalnya tidak terbuka untuk memikirkan tentang kebesaran dan kemurahan Tuhan Hatinya hanya dipenuhi oleh tuntutan hawa nafsu, tidak ada selira untuk mengingati Tuhan atau beribadat kepada Tuhan.

Rahsia: Rahsia atau Sir adalah 'perantara' yang kerananya penciptaan makhluk menjadi mungkin. Ia menjadi pemangkin atau hijab kepada kewujudan makhluk. Rahsia atau Sir inilah yang memungkinkan ada hubungan makhluk dengan Tuhan. Hakikatnya hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya.

Rahsia Allah s.w.t: Sama seperti Rahsia.

Roh Allah s.w.t: Hakikat Roh. Urusan Tuhan yang berhubung dengan roh-roh. Ia dinamakan Roh Allah, iaitu hakikat yang berada pada sisi Allah s.w.t yang menguasai semua roh-roh.

Roh Insan: Latifah Sir.

Roh Muhammad: Roh yang paling latif yang menjadi penjana kepada sekalian kehidupan.

Roh Mutlak: Roh Allah s.w.t.

Roh Tuhan: Roh Allah s.w.t.

Rububiah: Suasana Pentadbiran Tuhan mengenai makhluk.

S
Shalat daim: Sembahyang yang berkekalan. Ada beberapa pengertian mengenai salat daim. Pertama, ia bermaksud sembahyang yang dilakukan secara berkekalan, iaitu tidak meninggalkan sebarang sembahyang fardu. Kedua, ia bermaksud hati sentiasa terikat dengan sembahyang, samada sedang melakukan sembahyang atau sedang menunggu untuk mengerjakan sembahyang sebelum masuk waktu sembahyang. Ke tiga, ia bermaksud suasana Latifah pada tahap kesedaran sir. Dalam kesedaran tersebut muka hati sentiasa menghadap kepada Allah s.w.t, tanpa diganggu oleh kesibukan pekerjaan atau kehadiran makhluk yang perlu dilayani. Keadaannya samalah seperti keadaan orang yang sedang berpuasa. Kesibukan dalam urusan harian tidak menghilangkan suasana berpuasa pada hati orang berkenaan. Pada tahap kesedaran sir setiap perbuatan dan perkataan menjadi ibadat.

Salihin: Orang salih, iaitu orang beriman yang berjalan sesuai dengan peraturan syariat.

Salik: Orang yang memasuki bidang latihan kerohanian.

Salikin: Sama seperti salik.

Sama'ah: Menceritakan kebaikan yang dilakukan bagi tujuan mendapatkan puji-pujian.

Load comments